MUAR: Polis membuka dua kertas siasatan terhadap dua beranak yang disyaki mengasari anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM) ketika operasi menangkap anjing liar di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata dua beranak berusia 24 dan 52 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awan, selain Seksyen 353 kanun sama kerana menggunakan kekerasan jenayah.

"Dua beranak itu direman di Mahkamah Majistret Muar dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan susulan kejadian jam 5.45 pagi kelmarin itu," katanya.

Mengulas lanjut, katanya semasa operasi dijalankan, dua beranak terbabit dipercayai mempertikai tindakan anggota MPM, menghalang tugas serta cuba melepaskan anjing yang ditangkap.