RAMALLAH/ISTANBUL: Tentera Israel memperketat sekatan di kejiranan di Hebron, Tebing Barat yang diduduki pada Sabtu ketika serangan ketenteraannya memasuki hari kesembilan berturut-turut, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik saksi.

Serangan yang bermula pada 23 Oktober itu sudah menyebabkan ribuan rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal, puluhan ditangkap, serta kemusnahan kediaman dan struktur lain.

Pada petang Jumaat, tentera Israel mengenakan perintah berkurung ketenteraan di kawasan kejiranan Ein Deir Bahha, menyerbu rumah serta menahan beberapa pemuda, menurut saksi kepada Anadolu.

Saksi berkata kenderaan tentera Israel memasuki kawasan kejiranan itu sebelum tentera mengumumkan menerusi pembesar suara bahawa kawasan berkenaan diisytiharkan sebagai zon tentera tertutup, melarang penduduk daripada berada di situ atau bergerak di kawasan berkenaan.