BAITULMUQADDIS: Israel memperluas kempen ‘pembersihan etnik’ ke bandar Hebron di Tebing Barat yang diduduki, dengan rancangan pemindahan penduduk secara besar-besaran dan pemusnahan bangunan mula dilaksanakan, menurut amaran pertubuhan hak asasi manusia Israel, B’Tselem.

Pertubuhan itu menggesa kerajaan asing dan institusi antarabangsa campur tangan menggunakan segala mekanisme yang tersedia di bawah undang-undang antarabangsa bagi menghentikan pemindahan paksa orang awam Palestin, hukuman kolektif dan pemusnahan meluas yang menyalahi undang-undang.

“Pemimpin Israel secara terbuka menyatakan hasrat mereka, manakala tindakan di lapangan sudah pun bermula,” menurut B’Tselem.

Amaran itu menyusul insiden tembakan berhampiran Hebron pada Jumaat yang mengorbankan dua anggota tentera Israel dan dua rakyat Palestin, selain mencederakan tiga lagi anggota tentera Israel.