SEREMBAN: Suami kepada pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang ditemukan maut di sebuah kuarters kerajaan di Nilai pada 15 Oktober lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Khairudin Safi’ai, 39, berikutan pertuduhan membunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh isterinya, Norhazwani Ibrahim, 35, di kediaman mereka di Kelompok 6, Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA, Nilai, kira-kira pukul 7 malam pada 15 Oktober lalu.









