KUCHING: Sarawak kini memasuki fasa kerajaan sementara selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan secara rasmi hari ini sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13).
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam tempoh berkenaan, kerajaan negeri akan melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara dengan mematuhi segala kehendak dan kelaziman perlembagaan yang berkuat kuasa.
“Pentadbiran awam dan perkhidmatan penting akan diteruskan bagi memastikan keperluan serta kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Pembubaran DUN diumumkan Abang Johari pada Jumaat lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.









