Kota Kinabalu: Aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, yang menyaksikan Sabah FC menewaskan Terengganu FC 2-0 dicemari insiden pergaduhan yang berakhir dengan layangan kad merah terhadap pemain pelawat.
Situasi panas dalam perlawanan yang dibasahi hujan itu berlaku pada minit-minit akhir babak pertama selepas pemain Terengganu, Romel Oswaldo Morales dilihat mengasari beberapa pemain Sabah, termasuk menjatuhkan penjaga gol, Juan Flere hingga terbaring kesakitan di padang.
Insiden itu memaksa pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah melayangkan kad merah terhadap Morales, menyebabkan Terengganu kekurangan seorang pemain sehingga tamat perlawanan.
Sebelum itu, Tuan Mohd Yaasin turut menyemak video bantuan pengadil (VAR) bagi mengesahkan kad merah yang dilayangkan terhadap Morales akibat kekasaran yang dilakukannya.










