KOTA KINABALU: Aksi Liga Super di Stadium Likas yang menyaksikan Sabah FC menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-0 dicemari insiden pergaduhan yang berakhir dengan layangan kad merah terhadap pemain pelawat.

Situasi panas pada perlawanan yang berlangsung dalam hujan itu berlaku pada minit akhir babak pertama selepas pemain TFC, Romel Morales dilihat mengasari pemain Sabah, termasuk menjatuhkan penjaga gol, Juan Flere hingga terbaring kesakitan di atas padang.

Insiden itu memaksa pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah melayangkan kad merah terhadap Morales, menyebabkan TFC kekurangan seorang pemain hingga tamat perlawanan.

Sebelum itu, Tuan Mohd Yaasin turut menyemak video bantuan pengadil (VAR) bagi mengesahkan kad merah yang dilayangkan terhadap Morales akibat kekasaran yang dilakukannya.