KUALA LUMPUR: Bahang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-38 semakin terasa apabila Mini Creators Fiesta menghimpunkan barisan artis baharu, selebriti dan pempengaruh popular bersama peminat dalam suasana santai serta penuh kemeriahan, hari ini.
Berlangsung di Ombak KLCC, acara dari jam 3 petang hingga 6 petang itu menampilkan pelbagai aktiviti interaktif selain pengumuman istimewa sebagai pemanas suasana menjelang malam kemuncak ABPBH 38.
Antara yang hadir memeriahkan acara ialah calon kategori Artis Baharu Wanita Popular, Amarra, Amylia Aidura, Thalita, Sharmaine Alexander, Qistina Khaled, Odda dan Nasuha Sulaiman.
Bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, acara itu turut disertai Ammar Haikal, Hussain, Badron Munirah, Ezaidi Aziz, Gbril, Zairi Aziz, Imranul Effendy dan Hadie Elfardie.









