Sungai Petani: Gelagat kanak-kanak dan golongan muda mencuba aksi sepak takraw menceriakan suasana Karnival Takraw & Mini-Klinik sempena Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 di McDonald's Pandu-Lalu Amanjaya, di sini, Sabtu lalu.
Menerusi program itu, pengunjung bukan sahaja berpeluang menyaksikan demonstrasi permainan daripada pemain negeri, malah turut mencuba sendiri kemahiran asas sukan berkenaan menerusi sesi mini-klinik sepak takraw.
Sesi itu menarik perhatian pengunjung pelbagai peringkat umur yang tidak melepaskan peluang mendekati pemain untuk mendapatkan tunjuk ajar dan mencuba aksi sepak takraw manakala kanak-kanak pula mengambil kesempatan menyertai aktiviti santai bersama pemain dan penyampai radio Hot FM.









