KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia di tangga ke-53 daripada 143 negara dalam Indeks Kedaulatan Undang-Undang 2026, yang diumumkan baru-baru ini tidak menjamin peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada masa hadapan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata penilaian CPI tidak bergantung secara automatik kepada kedudukan dalam indeks berkenaan, sebaliknya mengambil kira pelbagai faktor mencerminkan persepsi terhadap tahap rasuah di sesebuah negara.

Katanya, kedudukan Malaysia masih rendah dalam aspek keterbukaan kerajaan, kekangan terhadap kuasa kerajaan dan bebas rasuah membuktikan masih banyak kelemahan institusi perlu diperbaiki.

"Pencapaian peningkatan kedudukan Malaysia ke tangga ke-53 daripada 143 negara dalam Indeks Kedaulatan Undang-Undang 2026 oleh World Justice Project (WJP) memberikan isyarat positif terhadap usaha memperkukuh tadbir urus, keberkesanan sistem kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang negara.