Kuala Lumpur: Malaysia mengekalkan kedudukan ke-34 daripada 139 ekonomi dalam Indeks Inovasi Global 2026 (GII 2026) dengan skor keseluruhan meningkat kepada 41.8 mata berbanding 40.6 mata tahun lalu.
Indeks yang diterbitkan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) itu turut meletakkan Malaysia di kedudukan kedua dalam kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura dan kedua daripada 35 ekonomi berpendapatan sederhana tinggi selepas China.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang berkata, peningkatan skor itu mencerminkan kemajuan keupayaan inovasi negara walaupun kedudukan Malaysia kekal pada tangga ke-34.
Katanya, keutamaan kementerian adalah memastikan kekuatan negara dalam penyelidikan, bakat dan teknologi diterjemahkan kepada lebih banyak harta intelek tempatan dan hasil penyelidikan yang dikomersialkan serta syarikat teknologi berdaya saing di peringkat global.










