KUALA LUMPUR: Premis penyembelihan ayam yang tular selepas didakwa melakukan kaedah penyembelihan meragukan didaftarkan atas nama entiti lain dan bukan milik Bhuiyen Sdn Bhd.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata bagaimanapun pemeriksaan mendapati bekalan ayam hidup bagi aktiviti itu diperoleh daripada syarikat berkenaan.

Katanya, penemuan awal diperoleh hasil tindakan risikan awal dan pemeriksaan di lokasi telah dilaksanakan oleh jabatan ini bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Semakan turut mendapati premis dan produk ayam yang disembelih oleh syarikat berkenaan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada JAKIM mahupun pihak berkuasa agama Islam negeri.