Kuala Lumpur: Isu ribuan tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara yang didedahkan Harian Metro (HM) menerusi laporan bersiri khas sejak bulan lalu mendapat perhatian dan dibangkitkan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang merujuk laporan bertajuk Kartel Sampah Haram Kaut Untung itu berkata, kewujudan tapak pelupusan sampah haram yang beroperasi secara terbuka bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah boleh mengancam kesihatan penduduk serta menjejaskan imej kawasan setempat.

"Lebih membimbangkan, kegiatan ini dipercayai didorong kepentingan pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahu mengelak kos pelupusan di tapak yang sah.

"Malah menerusi laporan khas Harian Metro bertajuk 'Kartel Sampah Haram Kaut Untung' yang mula disiarkan pada 24 September lalu, juga melaporkan berkenaan isu tapak haram pelupusan sampah di tujuh negeri yang membabitkan 3,723 hotspot dengan ada yang masih aktif," katanya ketika ketika menyambung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027.