Kuala Lumpur: Jaguh renang para negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli berjaya mempertahankan pingat emas acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun hari ini, dengan mencatat rekod baharu temasya 1 minit 41.44 saat (s).
Perenang dari Sarawak itu memecahkan rekod temasya miliknya sendiri, 1:41.55s, yang dicatat pada saringan kedua pagi tadi, sekali gus merangkul emas kedua berturut-turut dalam acara itu yang berlangsung di Nagoya City General Gymnasium.
Keputusan itu juga menyaksikan atlet berusia 31 tahun itu menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara renang pada edisi kelima temasya sukan pelbagai acara yang diadakan setiap empat tahun sekali itu.









