KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa perlu memantau pelepasan emisi kapal di sekitar pelabuhan utama dengan lebih rapi, khususnya ketika episod jerebu, bagi menilai sumbangannya terhadap pencemaran udara serta melindungi kesihatan pekerja pelabuhan dan masyarakat berhampiran, kata dua pakar maritim.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd Datuk Seri Jeyenderan M. Ramasamy berkata, kedudukan strategik Malaysia di sepanjang Selat Melaka, antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia, menawarkan peluang besar untuk mengembangkan sektor pembekalan bahan api marin, namun aspek alam sekitar tidak harus diabaikan.

“Seiring dengan peningkatan jumlah kapal yang melalui perairan kita, kita perlu memastikan pelepasan emisi kapal dipantau dengan sewajarnya dan pelabuhan kita dibangunkan secara mampan. Kesan aktiviti perkapalan terhadap alam sekitar wajar diberi perhatian lebih dekat, khususnya ketika Malaysia berdepan jerebu rentas sempadan,” katanya.