ADA yang sanggup berlari puluhan kilometer demi mengejar rekod peribadi, namun sanggupkah mereka mempertaruhkan kesihatan paru-paru hanya kerana enggan terlepas satu sesi latihan ketika jerebu?
Dalam keadaan udara dicemari zarah halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, setiap tarikan nafas ketika berlari boleh meningkatkan jumlah bahan pencemar yang memasuki sistem pernafasan terutama apabila aktiviti dilakukan pada intensiti tinggi dan untuk tempoh lama.
Lebih membimbangkan, tubuh tidak semestinya menunjukkan tanda amaran serta-merta, menyebabkan ada yang terus memaksa diri tanpa menyedari risiko yang mungkin dihadapi.
Pakar Perunding Perubatan Respiratori, Permasalahan Tidur & Perubatan Dalaman, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa berkata, berlari ketika jerebu boleh meningkatkan pendedahan paru-paru kepada bahan pencemar udara, terutama apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat iaitu bermula daripada paras 101.









