PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan menangguhkan aktiviti sukan dan senaman di luar apabila Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100 bagi mengurangkan risiko terdedah kepada pencemaran udara.

Public Health Malaysia menerusi perkongsian di media sosial mengingatkan bahawa aktiviti seperti berjoging ketika jerebu boleh meningkatkan jumlah bahan pencemar yang disedut ke dalam paru-paru berikutan kadar pernafasan yang bertambah ketika bersenam.

Menurut perkongsian itu, ketika melakukan aktiviti fizikal, seseorang akan bernafas dengan lebih cepat dan dalam bagi memenuhi keperluan oksigen badan.

Bagaimanapun, dalam keadaan berjerebu, peningkatan kadar pernafasan itu turut menyebabkan lebih banyak udara tercemar disedut ke dalam sistem pernafasan.