Kuala Lumpur: Lelaki warga Hong Kong yang ditahan bersama satu kilogram kokain di lapangan terbang negara itu pada Rabu lalu disyaki mempunyai kaitan dengan seorang suspek ditahan polis di Brickfields, di sini, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak berkuasa Hong Kong sudah memaklumkan berhubung penahanan seorang warganegaranya bersama dadah disyaki dari Malaysia.

"Kokain terbabit dipercayai bukan berasal dari Malaysia sebaliknya negara ini dijadikan sebagai transit sebelum diseludup ke negara lain melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihak polis percaya tangkapan terbaharu oleh pihak berkuasa Hong Kong itu mempunyai kaitan dengan suspek juga warga Hong Kong yang ditahan di Brickfields pada 5 November lalu kerana disyaki menjadi dalang sindiket berkenaan di Malaysia.