Jasin: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin politik di negeri itu tampil membuat laporan polis terhadap Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung arahan penangguhan pelaksanaan hukuman tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar menyifatkan tindakan AGC menangguhkan pelaksanaan hukuman berkenaan sebagai penderhakaan terhadap Institusi Diraja.
"Kenyataan AGC kita anggap satu penderhakaan terhadap Institusi Diraja, saya minta NGO-NGO di Johor keluar ramai-ramai mempertahankan Raja dan Institusi Diraja.
"Supaya tidak ada mana-mana pihak memperalatkan mana-mana Institusi Diraja bagi menidakkan hak Raja-Raja Melayu," katanya ketika ditemui media pada Program Apa Kabau Orang Melaka di Pantai Siring, Kampung Pulai, di sini, hari ini.









