JASIN: Badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik di Johor digesa membuat laporan polis terhadap Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung arahan penangguhan pelaksanaan hukuman tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Menteri Besar Johor, menyifatkan tindakan AGC menangguhkan pelaksanaan hukuman berkenaan sebagai penderhakaan terhadap Institusi Diraja.

"Kenyataan AGC kita anggap satu penderhakaan terhadap Institusi Diraja, saya minta NGO di Johor keluar ramai-ramai mempertahankan Raja dan Institusi Diraja.

"Ini supaya tiada mana-mana pihak memperalatkan Institusi Diraja bagi menidakkan hak Raja-Raja Melayu," katanya ketika kepada media pada Program 'Apa Kabau Orang Melaka' di Pantai Siring, Kampung Pulai, di sini, hari ini.