KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bola sepak bawah 16 tahun (B-16) negara Muhammad Shukor Adan mahu anak buahnya meraih tiga mata penuh pada perlawanan pembukaan kempen kelayakan Piala Asia B-17 menentang Palestin dalam aksi Kumpulan E, esok.
Shukor berkata kemenangan pada perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, amat penting bagi memastikan skuad negara memulakan kempen dengan langkah kanan, sekali gus membina momentum positif menjelang perlawanan seterusnya.
"Perlawanan-perlawanan lain bagi saya juga penting, tapi perlawanan pertama lagi penting dan diharap pemain dapat menterjemahkan aksi mereka di dalam padang malam esok.
"Saya yakin pemain-pemain akan faham dengan situasi dalam pusingan kelayakan nanti, mereka akan bagi yang terbaik perlawanan malam esok dan pastikan tiga mata," katanya pada sidang media praperlawanan menentang Palestin di sini hari ini.









