PUTRAJAYA – Jurulatih skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara, Shukor Adan mahu anak buahnya tampil lebih serius dalam baki tiga hari persiapan sebelum memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-17 tahun, Ahad ini.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu akui gembira melihat komitmen pemain sepanjang dua minggu latihan dan percaya segalanya berjalan mengikut perancangan.

“Setakat ini semuanya berjalan lancar. Sekali pun ada ‘cacat’ (kelemahan), sekarang kita masih ada tiga hari lagi persiapan sebelum menentang Palestin.

“Motivasi terlalu baik, semalam pun pemain berjumpa dengan Datuk Ab Ghani Hassan (Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dia beri kata-kata motivasi yang agak baik untuk pemain,” katanya.