TANJUNG MALIM – Polis berjaya merampas 1,706 botol minuman keras pelbagai jenama bir, wiski, gin, vodka dan cognac yang disyaki tidak mempunyai setem cukai kastam sah, bernilai RM70,000.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Khalid Mohamad berkata, kesemua arak tersebut telah dirampas di sebuah kediaman di Kampung Batu 4, Slim River di sini pada pukul 3.55 petang semalam.

“Sepasukan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta yang sedang menjalankan tugas Op Taring Alpha 2 telah membuat serbuan di sebuah kediaman di Kampung Batu 4, Slim River.

“Hasil serbuan tersebut, polis telah merampas sebanyak 1,706 botol minuman keras yang terdiri daripada pelbagai jenama bir, wiski gin, vodka dan cognac yang disimpan dalam premis tersebut, disyaki tidak mempunyai setem cukai kastam sah,” katanya di sini, hari ini.