KOTA KINABALU: Warga emas yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu ditemukan dalam keadaan lemah di kawasan semak kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat di Kampung Pulutan Membawang, Menggatal, hari ini.

Francis Sibin Kodou, 67, ditemukan pasukan bomba selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari, berkata mangsa kali terakhir dilihat dalam keadaan kebingungan di tepi jalan kampung kira-kira jam 4.30 petang, Selasa lalu.

Katanya, operasi pencarian pada awalnya tertumpu di kawasan tanah perkuburan, kandang ayam dan kebun pisang berhampiran sebelum ditangguhkan pada malam berkenaan.