Kota Kinabalu: Warga emas yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu ditemukan dalam keadaan lemah di kawasan semak kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat di Kampung Pulutan Membawang, Menggatal, hari ini.
Francis Sibin Kodou, 67, ditemukan pasukan bomba selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 6.29 petang semalam.
Beliau berkata, mangsa kali terakhir dilihat dalam keadaan kebingungan di tepi jalan kampung kira-kira jam 4.30 petang, Selasa lalu.








