Seremban: Pelajar lelaki sekolah menengah yang dikaitkan dengan video tular memaparkan berada dalam keadaan khayal di dalam kelas didapati positif tiga jenis dadah menerusi ujian saringan awal air kencing.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pelajar berkenaan ditahan untuk tindakan lanjut selepas pihaknya menjalankan siasatan susulan penularan video itu di Threads.
"Polis Negeri Sembilan mengambil maklum berhubung penularan rakaman satu video di media sosial Threads sejak semalam yang memaparkan seorang pelajar sekolah disyaki berada dalam keadaan khayal akibat penggunaan vape.
"Susulan penularan video berkenaan, pihak polis sudah menjalankan siasatan dan mengenal pasti pelajar yang terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.








