NILAI - Polis mengesahkan pelajar lelaki yang didakwa dalam keadaan khayal ketika berada di dalam kelas di sebuah sekolah di Nilai di sini, adalah positif dadah.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap pelajar terbabit mendapati positif dadah jenis ketamin, benzodiazepin (Benzo) dan THC.Bagaimanapun katanya, keputusan tersebut masih tertakluk kepada pengesahan lanjut dan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian terbabit."Polis mengambil maklum berhubung penularan satu rakaman video di media sosial Threads pada 4 November (Rabu) yang memaparkan seorang pelajar sekolah disyaki berada dalam keadaan khayal akibat penggunaan vape."Susulan penularan video berkenaan, polis telah menjalankan siasatan dan mengenal pasti pelajar terlibat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 28 Oktober lalu di sebuah sekolah menengah di Nilai.Ujar beliau, pelajar berkenaan akan dirujuk kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983."Polis memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, khususnya dalam kalangan pelajar."Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam menangani gejala penyalahgunaan dadah," katanya.Menerusi video yang tular, pelajar berkenaan dilihat berdiri dalam keadaan membongkok dengan kepala tertunduk berhampiran sebuah meja.Keadaan pelajar itu yang kelihatan tidak stabil turut menarik perhatian beberapa pelajar lain di dalam kelas.Hantaran tersebut disertakan keterangan, "teruk budak SPM sekarang, dalam kelas pun nak piu-piu" yang dipercayai merujuk kepada tingkah laku pelajar terbabit.