KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 edisi ke-22 terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan halal global dengan menghimpunkan perniagaan dan pemegang taruh industri bagi menjalin hubungan bermakna serta menyokong pertumbuhan berterusan industri itu.
Menurut laporan Kajian Kes Kejayaan MIHAS 2026, acara itu menyediakan platform kepada syarikat untuk membina hubungan perniagaan selain meneroka peluang.
Dalam pada itu, impak jangka panjangnya juga bergantung pada sejauh mana jalinan kerjasama tersebut dapat diterjemahkan kepada aktiviti eksport, pelaburan, pengeluaran dan pewujudan peluang pekerjaan.
Laporan itu menyatakan impak ekonomi MIHAS 2026 boleh dilihat melalui tiga peringkat iaitu impak komersial segera menerusi nilai jualan sebanyak RM6.78 bilion dan impak pembangunan perdagangan melalui hubungan dengan pembeli, padanan perniagaan, maklumat pasaran, sokongan pensijilan dan piawaian serta persediaan eksport.









