Kuala Kangsar: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan Ahli Dewan Negara negeri Perak dan pembesar istana supaya tidak sekali-kali menggunakan nama raja, pengaruh istana atau gelaran disandang untuk mendapatkan keuntungan peribadi, mencari laba dan peluang perniagaan.

Sultan Nazrin juga menitahkan mereka supaya mengelak daripada diperalatkan untuk membantu pihak tertentu secara tidak wajar, meragukan atau menekan sesiapa.

Baginda bertitah, rasuah dan salah guna kuasa serta sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan serta mencemarkan nama baik takhta dan istana juga perlu dijauhi.

"Jangan benarkan kedudukan dijadikan alat untuk meminta keistimewaan, mengumpulkan kekayaan atau mencampuri urusan yang bukan dalam bidang tanggungjawab," titah Sultan Nazrin pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-175 di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.