PETALING JAYA: Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila ia menimbulkan persepsi bahawa kuasa pentadbiran berpotensi digunakan untuk menyekat perjuangan pembangkang.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, PN bukan sekadar gabungan politik, sebaliknya merupakan wadah perjuangan yang membawa suara, harapan dan kepercayaan jutaan rakyat Malaysia yang menuntut sebuah kerajaan bertanggungjawab serta sistem semak dan imbang yang berkesan.
Beliau berkata, apabila sebuah gabungan politik yang mewakili suara jutaan rakyat berdepan tindakan pentadbiran sedemikian, persoalan yang perlu dijawab adalah sama ada prinsip demokrasi dan kebebasan berpersatuan benar-benar dihormati atau hanya dilaungkan apabila menguntungkan pihak tertentu.








