PETALING JAYA – Raja-Raja Melayu menyeru semua pihak supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis institusi takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya menyerahkan usaha penyelesaian kepada pihak berautoriti mengikut saluran undang-undang yang sah.

Menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini, Raja-Raja Melayu turut mengingatkan supaya isu berkenaan tidak dijadikan bahan politik, modal meraih sokongan atau ruang meningkatkan pengaruh bagi memenuhi agenda perebutan kuasa. Menurut kenyataan itu, sebarang kenyataan bercanggah dan tidak bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat serta mencemarkan kemuliaan institusi diraja.