PETALING JAYA -Penganjuran Gegar Joran Melaka 2026 di Tasik Ayer Keroh pada 18 Oktober ini dijangka merancakkan sektor pelancongan rekreasi negeri Melaka, khususnya menerusi aktiviti memancing yang mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron berkata, program yang memasuki tahun kedua itu bukan sekadar menyediakan ruang riadah kepada komuniti kaki pancing, malah menjadi platform memperkenalkan Tasik Ayer Keroh sebagai destinasi rekreasi kepada pengunjung dari dalam dan luar Melaka.
Menurutnya, kesinambungan program itu mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam menghidupkan kawasan Tasik Ayer Keroh menerusi penganjuran aktiviti yang mampu menghimpunkan masyarakat, selain memberi limpahan ekonomi kepada peniaga serta pengusaha pelancongan di kawasan sekitar.










