KOTA KINABALU: Sebuah banglo mewah tiga tingkat di kawasan elit sekitar bandar raya ini dijadikan markas kegiatan penipuan dalam talian membabitkan warga asing.

Kegiatan terbongkar selepas premis diserbu Jabatan Imigresen Sabah menerusi Ops Serkap kira-kira jam 11 malam tadi, sebelum 14 lelaki warga China berusia antara 26 hingga 44 tahun ditahan.

Pihak berkuasa turut merampas 75 telefon bimbit dan 14 komputer riba dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata operasi dijalankan hasil risikan seminggu sebelum 49 pegawai penguat kuasa digerakkan ke lokasi.