Ayer Keroh: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya apabila menggunakan istilah agama untuk menghukum pendirian atau kumpulan tertentu.

Anwar berkata, sebagai seorang tokoh agama, Abdul Hadi sepatutnya lebih terkawal dalam memberikan pandangan, termasuk berhubung Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang dikaitkan dengan istilah 'Dajjal'.

"Tan Sri Hadi itu orang alim. Sepatutnya kenyataan dia itu lebih terkawal, ya. Mereka cuba jawab, dia bukan tuju kepada saya. Tidak apa, tapi untuk hukum orang atau kumpulan atau pendirian Dajjal, tak kena," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.