KOTA BHARU: Selepas hampir 48 jam hilang, mayat seorang buruh ditemukan dalam keadaan tertiarap di bawah pam menyedut pasir di Sungai Kelantan di Kampung Chekok, Serendah di sini, hari ini.

Mayat Muhammad Aqbar Che Abdullah, 35, dijumpai kira-kira pukul 8 pagi oleh penduduk kampung yang membantu pasukan bomba menjalankan operasi mencari mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Fakaruddin Brahim berkata, mayat lelaki itu ditemukan kira-kira 20 kilometer dari lokasi mangsa dikhuatiri terjatuh dari bot oleh penduduk kampung.

Katanya, pasukan bomba menerima maklumat berhubung penemuan mangsa oleh penduduk kampung yang membantu mencari sejak hari kejadian.