HANG TUAH JAYA - Penyertaan calon muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 penting dalam memastikan golongan itu mendapat perwakilan sewajarnya dalam proses demokrasi, selain membina pengalaman untuk menjadi pemimpin masa depan.Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata, pendekatan itu selari dengan perubahan demografi pengundi susulan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik dan umur mengundi 18 tahun.Menurutnya, pemilihan calon muda tidak seharusnya dinilai berdasarkan kedudukan mereka dalam parti atau hubungan dengan pemimpin tertentu, sebaliknya mengambil kira keperluan memastikan kepelbagaian demografi masyarakat diwakili."Kita sentiasa kekalkan pendekatan bahawa semua wakil daripada masyarakat perlu ada perwakilan dan ikut serta dalam proses pilihan raya."Kita beri penumpuan terhadap perwakilan sama ada dari segi kaum, gender ataupun umum," katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH di sini pada Selasa.Beliau berkata demikian ketika mengulas penyertaan calon muda yang berdepan kritikan masyarakat.Adam Adli berkata, calon muda perlu diberikan ruang untuk menampilkan diri serta membuktikan kemampuan, mengambil kira sebahagian besar mereka mungkin pertama kali berdepan pengalaman bertanding dalam pilihan raya.Tambah beliau, penilaian terhadap calon muda juga perlu mengambil kira cabaran stigma dan tekanan yang dihadapi mereka, termasuk tanggapan bahawa pengalaman serta kemahiran komunikasi mereka masih belum setanding calon lebih berpengalaman."Kita tidak boleh selama-lamanya mengharapkan orang muda hanya memasang bendera, memasang kain rentang, mengumpulkan orang untuk ceramah, mengedarkan risalah dan berdepan perbalahan di media sosial, tetapi apabila mahu menjadi calon, mereka tidak diberikan peluang."Jadi, PH mengiktiraf perkara ini dan kita sentiasa berdepan cabaran tersebut," katanya.Dalam pada itu, Adam Adli mengingatkan bahawa pemilihan calon muda tidak semestinya menjamin sokongan automatik daripada pengundi dalam kelompok umur sama."Kecenderungan politik golongan muda turut dipengaruhi persekitaran sekeliling termasuk ibu bapa, keluarga serta pertimbangan politik masing-masing."Kita harus lihat sebagai realiti, klau tidak mulakan sekarang, maka kita tidak mampu untuk bangunkan pengalaman yang lebih lengkap bagi golongan ini dalam 5 tahun hingga10 tahun akan datang," ujar beliau.
PRN Melaka: Calon muda perlu diberi peluang bina pengalaman – Adam Adli

Key takeaways
Adam Adli menekankan pentingnya memberi peluang kepada calon muda dalam PRN Melaka untuk membina pengalaman dan memastikan perwakilan yang seimbang.
- Calon muda perlu diberi peluang untuk menampilkan diri dan membuktikan kemampuan mereka.
- Pemilihan calon muda tidak seharusnya bergantung pada kedudukan dalam parti atau hubungan dengan pemimpin.
- Perlu mengambil kira cabaran stigma dan tekanan yang dihadapi calon muda semasa bertanding.
Summarised automatically by AI from the original article by Sinar Harian. AI can make mistakes, so check the original for details.
Story details
- Published
- By
- NOOR AINON MOHAMED
- Section
- BERITA
- Language
- Malay (Malaysia)
- Format
- Article
- Original
- sinarharian.com.my ↗
Related reporting
6 stories on this topic from 4 sources, oldest first.
- Sinar Harian PRN Melaka: Calon muda perlu diberi peluang bina pengalaman – Adam Adli (this story)







