Kuala Lumpur: Muslim Care Malaysia Society (MCM) memperkukuh komitmen terhadap integriti, ketelusan dan tadbir urus organisasi apabila menerima pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 daripada SIRIM QAS International.
Pensijilan itu dilihat langkah penting bagi memastikan pengurusan sumbangan dan pelaksanaan misi kemanusiaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dilaksanakan secara lebih sistematik, profesional dan bertanggungjawab.
Presiden MCM, Zulkifli Wahijan, berkata pengiktirafan itu amat bermakna ketika MCM sedang mempergiat usaha mencapai misinya menjadi NGO antarabangsa pilihan yang terkehadapan menjelang 2027.
Beliau berkata, sejak ditubuhkan 21 tahun lalu, MCM melaksanakan pelbagai aktiviti kemanusiaan di lebih 50 negara, sekali gus menuntut organisasi itu sentiasa meningkatkan kualiti pengurusan dan perkhidmatannya.









