KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai mekanisme kesiapsiagaan yang komprehensif bagi menghadapi pelbagai bentuk krisis dan ancaman keselamatan sekiranya berlaku sebarang ketidaktentuan global, demikian menurut pakar geopolitik, Prof Dr Azmi Hassan.
Beliau berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana negara ini mengamalkan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), yang menggabungkan pelbagai agensi kerajaan dan masyarakat untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bencana serta gangguan bekalan.
Ahli Geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu berkata, pendekatan tersebut selari dengan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap konsep Whole-of-Government (pendekatan keseluruhan kerajaan) dan Whole-of-Society (pendekatan keseluruhan masyarakat) yang menuntut kerjasama semua pihak dalam memperkukuh ketahanan negara.









