Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan pemeriksaan bersasar ke atas pemborong, pengedar, pasar raya, pasar borong dan premis makanan yang dikenal pasti menerima bekalan ayam daripada sebuah premis di Puchong, Selangor yang diragui integriti penyembelihannya.

​Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, isu berkenaan dipandang serius kerana ia bukan saja membabitkan prosedur penyembelihan, malah menyentuh hak pengguna untuk memperoleh maklumat yang benar dan tepat.

"Ia juga membabitkan kepentingan pengguna terutama beragama Islam yang meletakkan kepercayaan kepada status halal sesuatu produk makanan.

"Berdasarkan laporan operasi bersepadu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 30 Oktober lalu, premis berkenaan didapati bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).