ISTANBUL: Sebuah mahkamah di Russia mengenakan denda berjumlah 18.4 juta ruble (kira-kira AS$226,000) terhadap Google dan platform pemesejan Telegram kerana gagal memadamkan kandungan yang dilarang, lapor Agensi Anadolu.

Mahkamah Daerah Tagansky di Moscow membuat keputusan itu berhubung kes pentadbiran yang difailkan terhadap dua gergasi teknologi berkenaan.

Mahkamah memerintahkan Telegram membayar denda 14.6 juta ruble (AS$179,000) bagi tiga kesalahan kerana gagal menurunkan bahan yang dilarang, manakala Google didenda 3.8 juta ruble (AS$47,000).

Telegram dikenakan penalti kerana tidak memadamkan kandungan berkaitan perekrutan bagi sebuah organisasi pengganas yang diharamkan di Russia serta sebuah buku yang diklasifikasikan sebagai bahan ekstremis oleh pihak berkuasa.