KUALA LUMPUR: Jabatan Akauntan Negara (JANM) merekodkan lebih RM14 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) sehingga 30 September, 2026, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, kurangnya kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan orang awam mengenai kewujudan WTD serta hak untuk membuat tuntutan adalah antara faktor utama menyumbang kepada jumlah WTD itu.
"Antara faktor lain adalah kegagalan mengesan pemilik wang berikutan maklumat perhubungan seperti alamat dan nombor telefon yang tidak lagi tepat atau tidak dikemas kini serta kekurangan maklumat mengenai kewujudan WTD , khususnya apabila pemilik tidak menyedari terdapat wang yang masih terhutang kepada mereka oleh entiti atau syarikat," katanya.






