SHAH ALAM: S P Setia Bhd dan HELP Education Group akan membangunkan sebuah sekolah antarabangsa berkapasiti lebih 1,000 pelajar di Bandar Kinrara yang disasarkan dibuka pada Ogos 2029.

Setia dalam satu kenyataan berkata, anak syarikatnya, Perumahan Kinrara Bhd, menandatangani perjanjian bina dan pajak serta perjanjian pajakan dengan HELP Kinrara Sdn Bhd bagi pembangunan kampus berkenaan.

Kampus enam tingkat itu akan dibangunkan di tapak seluas 2.01 ekar dalam kawasan komersial kira-kira 16 ekar, dengan anggaran keluasan lantai kasar 176,085 kaki persegi.

Sekolah berkenaan akan menjadi kampus keempat dalam rangkaian HELP Group of Schools dan menyasarkan keluarga di Bandar Kinrara, Puchong, Bukit Jalil serta kawasan sekitarnya.