KUALA TERENGGANU: Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Trg Inc) sedang mencari rakan strategik bagi membangunkan semula taman tema air di Pulau Poh, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trg Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, berkata pembangunan taman tema itu dijangka dilaksanakan pada skala lebih besar bagi menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus mempelbagaikan lagi aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir.

Beliau berkata, pembangunan kemudahan pelancongan itu penting bagi memanjangkan tempoh penginapan pelancong di Terengganu, khususnya dengan menyediakan lebih banyak aktiviti rekreasi serta hiburan untuk pengunjung yang datang daripada pelbagai latar belakang.