KUALA LUMPUR: Sebanyak 60,632 kandungan berunsur buli, 55,895 kandungan palsu dan 1,277 kandungan fitnah sudah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan berdasar permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 September 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata kerajaan memperkukuh kerangka kawal selia keselamatan digital menerusi penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] bermula 1 Januari 2026.
Beliau berkata, usaha itu bagi menangani pelbagai ancaman dan isu kandungan memudaratkan seperti buli siber, fitnah serta penyebaran berita palsu.
Katanya, penguatkuasaan akta baharu itu turut disokong menerusi pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574].









