WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata beliau mencapai persetujuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bahawa Washington akan menghentikan bantuan kewangan berjumlah AS$4 bilion kepada Israel selepas penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan dengan segera jenis bantuan yang dimaksudkan Trump atau bagaimana bantuan itu akan dihentikan menjelang akhir tahun ini, memandangkan memorandum persefahaman yang memperuntukkan bantuan ketenteraan AS sebanyak AS$3.8 bilion kepada Israel setiap tahun hanya akan tamat pada 2028.

Perbincangan mengenai hala tuju bantuan Washington kepada Israel selepas tarikh itu sedang berlangsung.

Ketika ditemu bual dalam program 'Fox & Friends' terbitan Fox News, Trump berkata Israel tidak lagi memerlukan bantuan berkenaan, selain mendakwa beberapa anggota Parti Demokrat dan ahli politik berhaluan kiri menggunakan sokongan kewangan AS kepada Israel sebagai modal untuk mengkritik Parti Republikan.