KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti pelaksanaan dasar pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam terdahulu yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata penelitian itu akan mengambil kira aspek keadilan kepada peminjam berkenaan, selain memastikan dasar pembiayaan pendidikan negara kekal mampan.
"Dari segi dasar PTPTN, kita akan semaknya secara berterusan kerana matlamat kita dalam PTPTN juga adalah untuk memastikan bantuan itu adalah secara bersasar dan hanya diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan. Jadi sebahagian daripada pengecualian akan kita lihat dengan dasar itu juga," katanya.








