Kuala Lumpur: Semua kerja naik taraf dan penambahbaikan tempat pertandingan bagi penganjuran Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 2027 dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) 2027 memantau serta menyelaraskan kesiapsiagaan infrastruktur dan tempat pertandingan secara berterusan.
Katanya, Sukan SEA Ke-34 yang dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 bakal mempertandingkan 43 sukan merentasi empat kluster utama iaitu Kuala Lumpur dan Sarawak (masing-masing 18 sukan), Pulau Pinang (enam sukan) serta Johor (satu sukan).









