Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terharu apabila menerima sekeping gambar lama daripada seorang pelajar dari Alor Setar, Kedah, yang merakamkan kenangan beliau meraikan kemenangan pertama di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1982.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata gambar itu dikongsikan Zahra Mohamad Zelman ketika beliau disapa pelajar itu bersama dengan rakan-rakannya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma di Parlimen hari ini.

Anwar berkata gambar itu merakamkan detik beliau diraikan oleh moyang kepada Zahra iaitu Allahyarham Arshad Ahmad, selepas memenangi kerusi Permatang Pauh.

"Sekeping gambar, tetapi menyimpan begitu banyak kenangan dan kisah. Waktu yang cuba diimbau itu sudah lama berlalu, namun ingatan terhadap insan-insan serta kalangan mereka yang pernah hadir dan menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang perjuangan kekal di sanubari yang terdalam," katanya dalam hantaran itu.