ISTANBUL: Beberapa negara Eropah melaporkan ancaman bom membabitkan pesawat penumpang, hari ini menyebabkan pemeriksaan keselamatan dijalankan di lapangan terbang di Poland, Sepanyol, Bulgaria dan Itali, lapor Anadolu Ajansi.
Di Sepanyol, pihak berkuasa mula memeriksa sebuah pesawat Ryanair susulan ancaman bom membabitkan penerbangan dari Manchester yang mendarat di bandar Murcia, tenggara negara itu.
"Kesemua 114 penumpang dan tujuh anak kapal telah turun dari pesawat dan sedang menjalani pemeriksaan keselamatan," kata wakil kerajaan Sepanyol di Murcia, Francisco Lucas menerusi platform media sosial X, sambil menambah bahawa pesawat berkenaan turut diperiksa.
Pengendali lapangan terbang Aena, berkata pesawat itu mendarat mengikut jadual di Lapangan Terbang Antarabangsa Murcia di Corvera.






