Riyadh: Kumpulan Houthi di Yaman yang bersekutu dengan Iran hari ini mengulangi amaran mereka terhadap penggunaan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, beberapa jam selepas lapangan terbang itu mengumumkan akan membuka semula dua terminal untuk penerbangan selepas penggantungan operasi awal bulan ini.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, lapangan terbang tersebut kekal sebagai "sasaran ketenteraan" dan operasi yang menyasarkan lapangan terbang itu akan diteruskan.

Beliau turut memberi amaran kepada semua syarikat penerbangan, kakitangan lapangan terbang dan pengembara supaya tidak menggunakan kemudahan tersebut.

Lewat Sabtu, pihak Lapangan Terbang King Khalid memaklumkan bahawa Terminal 1 akan dikhususkan untuk penerbangan domestik, manakala Terminal 2 untuk penerbangan antarabangsa yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan nasional bermula hari ini.